Banjir: 7 Maut, 1 Masih Hilang di Selangor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan tujuh maut, manakala seorang mangsa dilaporkan masih hilang dalam insiden berkait banjir sejak Sabtu lalu.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, berkata berdasarkan laporan setakat jam 2.30 petang tadi, tiga ditemui lemas dan seorang mangsa dijumpai meninggal dunia di ruang atas rumah di sekitar Taman Sri Muda, di sini yang terjejas dengan bencana alam itu.

“Di kawasan Taman Sri Muda, bomba menemui mangsa lemas yang pertama pada Sabtu lalu, manakala dua lagi mangsa lemas dijumpai semalam.

“Seorang mangsa ditemui meninggal dunia di rumah, hari ini, membabitkan wanita berumur 40 tahun dipercayai warga Indonesia” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Operasi Bencana Bomba Sri Muda, hari ini.

Selain itu, Norazam berkata, anggota bomba turut menemui dua mangsa dipercayai lemas di Dengkil, Sepang.

“Ia adalah dua kes berasingan, hari ini, dan identiti mangsa belum dikenal pasti,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata, mayat seorang lelaki pemandu treler ditemui di Desa Coalfields, Kuala Selangor, semalam.

“Seorang lelaki pula dilaporkan hilang di Sungai Pinang, Klang, semalam, dipercayai terjatuh ke dalam parit,” katanya.


Sumber: BERITA HARIAN