KOTA BHARU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan akan terus memantau 595 kawasan ‘hot spot’ yang berisiko berlaku banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Pengarah APM Kelantan Mohd Adzhar Mujab berkata lebih 1,200 anggota dan segala kelengkapan logistik telah bersiap siaga sekiranya berlaku banjir dalam tempoh itu.
“Beberapa jajahan seperti Gua Musang, Kuala Krai, Rantau Panjang telah dikenal pasti berisiko banjir, malah kesemua kelengkapan APM termasuk 16 lori, 86 bot dan 700 jaket keselamatan kini bersedia untuk digerakkan.
“APM selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah telah melakukan latihan simulasi mengendalikan aset sebagai persediaan menghadapi banjir,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis Perasmian Bengkel Menghadapi Bencana Banjir MTL, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Adzhar berkata keadaan banjir di Kelantan agak berlainan dengan negeri lain kerana keadaan geografinya yang berbeza apabila ada penduduk yang terpaksa dipindahkan meskipun paras air sungai tidak meningkat dengan mendadak.
“Ada penduduk dipindahkan awal kerana menetap di kawasan yang rendah setelah sekitar kawasan rumah dinaiki air dan adakalanya air lambat surut,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan hujan lebat dijangka berlaku mulai awal November susulan musim MTL yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
Sumber: BERNAMA