KUANTAN : Bencana banjir yang melanda kini menuntut lebih perhatian orang ramai terutamanya ibu bapa dalam bertindak mengawal anak masing-masing.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, ramai yang tidak sedar bahawa sikap cuai mereka mampu mengundang tragedi buruk dan lebih malang lagi melibatkan kehilangan nyawa.
“Saya perhatikan di kawasan-kawasan tertentu, ada anak-anak kecil bermain air.. Mungkin tengah musim cuti sekolah dah setahun tak terima (hadapi) banjir.
“Air paras lutut mereka berenang, kita tidak tahu apabila berenang dan bermain di kawasan air yang nampak cetek ada lubang, ada arus agak kuat berhampiran tali air dan sebagainya yang boleh menyebabkan risiko kecederaan dan boleh jadi kehilangan nyawa.
“Malang tidak berbau, kita tak tahu ada benda-benda tajam atau binatang berbisa dalam air banjir, jadi mohon jasa baik ibu bapa untuk perhatikan anak-anak kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas pemantauan banjir di Kampung Cenderawasih di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, walaupun telah banyak laporan tragedi berkaitan, situasi kini masih disajikan dengan gelagat anak-anak yang bermain di tepi longkang besar, tali air dan sebagainya malah ada yang berani bermandi manda bersama rakan-rakan tanpa kawalan dan pengawasan ibu bapa.
“Ingin sekali saya berkongsi peringatan selaku pihak berkuasa mengenai betapa pentingnya kepekaan terhadap penjagaan keselamatan diri, keluarga serta harta benda masing-masing dan ia perlu lebih ditekankan oleh penduduk di beberapa lokasi wajib banjir di daerah ini.
“Sikap sentiasa berwaspada yang dipraktikkan dapat membantu mencegah daripada berlakunya tragedi seperti lemas, bot karam dan sebagainya yang kerap didengar khususnya pada musim banjir seperti sekarang,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA