Banjir di Kelantan semakin buruk

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Paras air sungai meningkat di jambatan baharu Pulau Setelu di Gua Musang pada Rabu.

Banjir gelombang ketiga di Kelantan semakin buruk apabila 3,019 penduduk membabitkan lima jajahan di negeri ini sudah dipindahkan.

Berbanding jam 11 pagi Rabu apabila seramai 1,031 mangsa telah dipindahkan dan hanya membabitkan empat jajahan.

Penduduk berpindah apabila kawasan rendah di sekitar Gua Musang turut ditenggelami air.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sehingga jam 5 petang Rabu sebanyak 51 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah diaktifkan.

Jajahan yang terjejas adalah di Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Gua Musang dan Jeli.

Mangsa yang paling ramai diselamatkan adalah di Jeli membabitkan 1,513 mangsa terdiri daripada 415 keluarga berada di 10 PPS.

Keadaan sebuah rumah di Tanah Merah yang ditenggelami air akibat hujan lebat.

Kedua tertinggi adalah di Kuala Krai dengan 839 mangsa terdiri daripada 192 keluarga ditempatkan di 23 PPS.

Di Tanah Merah, antara jajahan terawal dinaiki air pula seramai 386 mangsa melibatkan 104 keluarga dipindahkan ke 11 PPS.

Sementara itu, di Gua Musang pula kembali menyaksikan pemindahan penduduk pada Rabu selepas PPS ditutup pada Selasa.

Di Gua Musang, sebanyak lima PPS dibuka semula bagi menempatkan seramai 242 mangsa melibatkan 50 keluarga.

Jumlah mangsa dijangka terus meningkat pada petang Rabu memandangkan hujan sekali-sekala lebat melanda negeri ini dan paras air di beberapa sungai utama di Kelantan meningkat.

Sumber : SinarHarian