Banjir Di Pahang Pulih, Semua PPS Ditutup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini ditutup malam tadi.

PPS yang terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan Temai di daerah Pekan yang menempatkan 61 orang daripada 12 keluarga menamatkan operasi pada 10 malam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, gelombang pertama banjir di Pahang bermula 17 Disember lalu, menyaksikan 67,333 orang daripada 18,243 keluarga ditempatkan di 432 PPS di sembilan daerah.

“Gelombang kedua banjir pada 31 Disember yang bermula di daerah Raub, pula menyaksikan 3,293 orang daripada 911 keluarga ditempatkan di 72 PPS di lapan daerah,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, sebanyak 21 kematian dilaporkan sepanjang gelombang pertama banjir dengan Bentong merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 11 orang, diikuti Temerloh (empat), Kuantan (tiga), Raub (dua) dan Pekan (satu).

Sehubungan itu, beliau juga memaklumkan, operasi PKOB di semua daerah dan negeri juga ditangguhkan.

Sumber: PAHANGMEDIA