Banjir Johor: Klinik Kesihatan Chaah Musnah, 23 Lagi Fasiliti KKM Terjejas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ISKANDAR PUTERI: Klinik Kesihatan Chaah di Segamat, musnah sepenuhnya selepas ditenggelami banjir besar, minggu lalu.

Pengerusi Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata banjir turut merosakkan semua peralatan di fasiliti bekenaan.

Berikutan itu, katanya, sebuah klinik kesihatan sementara kini beroperasi di Balai Raya Chaah bagi memberi rawatan kepada mangsa banjir dan penduduk setempat dengan peralatan dan ubatan disalurkan dari klinik kesihatan serta hospital berhampiran.

“Sebanyak 24 fasiliti kesihatan membabitkan klinik kesihatan dan klinik desa di Johor terjejas akibat banjir sejak minggu lalu. Paling terjejas Klinik Kesihatan Chaah yang musnah dengan semua peralatan rosak dan operasi klinik dipindahkan ke balai raya di pekan itu.

“Setakat ini, klinik kesihatan yang masih terjejas dan ditenggelami banjir ialah Klinik Kesihatan Sri Gading di Batu Pahat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelepasan ‘Sounthern Volunteers’, sukarelawan dan agensi kerajaan sempena konvoi pasca banjir Johor di Dataran Mahkota Kota Iskandar, di sini hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sabtu lalu, media melaporkan sebanyak 18 fasiliti kesihatan di Johor terjejas akibat banjir besar, termasuk 12 klinik di Segamat yang merekodkan kerosakan paling besar fasiliti di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain Segamat, turut terjejas ialah tiga fasiliti kesihatan di Tangkak, dua di Batu Pahat dan satu di Kota Tinggi. Secara keseluruhan, ia membabitkan 13 klinik desa, empat klinik kesihatan serta sebuah klinik pergigian.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, keadaan banjir yang semakin pulih di beberapa kawasan, membolehkan sebahagian besar klinik kesihatan yang terjejas beroperasi semula.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang memantau keadaan klinik kesihatan terjejas dengan laporan penuh akan diserahkan kepada KKM bagi memohon bantuan lanjut.

“Pengoperasian semula klinik yang terjejas banjir banyak dibantu klinik-klinik kesihatan berhampiran yang tidak terjejas dan hospital utama di daerah terlibat,” katanya.

Beliau berkata, JKNJ sedang memantau keadaan fasiliti kesihatan terjejas banjir supaya tidak memberi kesan kepada sistem kesihatan di negeri ini.

“JKNJ akan memastikan pergerakan pesakit tidak terganggu. Sekiranya klinik kesihatan masih terjejas dan penduduk perlukan rawatan, mereka akan dirujuk ke klinik kesihatan berhampiran dan hospital utama.

“Isu fasiliti kesihatan terjejas banjir yang memerlukan peruntukan segera untuk dibaiki akan saya bawa ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiada rekod berhubung penyakit bawaan air yang diterima di fasiliti kesihatan di Johor, setakat ini.

“Tiada penyakit bawaan air seperti cirit birit, taun, muntah akibat banjir yang dilaporkan di negeri ini setakat ini. Kita harap tidak berlaku kerana setiap pusat pemindahan sementara (PPS) ada stesen kesihatan masing-masing dan petugas kesihatan memantau mangsa banjir,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN