Banjir Johor: Mangsa Berkurangan Ke 20,107 Orang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JOHOR BAHRU: Banjir di Johor semakin pulih selepas dua daerah yang terjejas masing-masing menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir setakat jam 4 petang ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir setakat ini tinggal 20,107 orang (5,751 keluarga) berbanding 21,079 orang (6,031 keluarga) pada jam 12 tengah hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan hanya di 77 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi.

“Setakat ini, hanya Batu Pahat dan Segamat yang masih terjejas banjir.

“Mangsa banjir di Batu Pahat kini seramai 20,083 orang (5,743 keluarga) di 75 PPS, manakala Segamat menurun kepada 24 mangsa banjir (lapan keluarga) di dua PPS,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan berterusan, namun terdapat amaran ribut petir Muar, Batu Pahat dan Pontian sehingga malam ini.

Bagi laporan pemantauan cuaca sebenar juga menunjukkan semua daerah di negeri ini dilaporkan cerah.

Pada masa sama, terdapat lima jalan di Batu Pahat yang masih ditutup akibat banjir, namun dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

“Jalan yang masih terjejas akibat banjir adalah Jambatan Sri Dayung di Jalan Parit Haji Arif atau Sri Dayung; Jambatan Parit Jambi di Jalan Parit Jambi; Klinik Kesihatan Sri Medan di Jalan Haji Arif; sepanjang Jalan Parit Warijo dan Kampung Sri Bengkal, Jalan Sri Bengkal,” katanya.

Sumber: METRO