Banjir Johor Semakin Buruk, Mangsa Banjir Kini Meningkat Kepada 33,149

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila mangsa banjir terus melonjak kepada 33,149 penduduk dengan semua 10 daerahnya kini terjejas.

Ia membabitkan seramai 9,354 keluarga, yang dipindahkan ke 217 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di 10 daerah, setakat jam 8 pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata hujan lebat yang terus melanda hampir semua daerah sejak petang semalam menyebabkan jumlah mangsa banjir negeri ini terus meningkat.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Segamat menjadi daerah paling terjejas dengan mangsanya melonjak kepada 12,186 mangsa daripada 3,519 keluarga di 77 PPS.

“Kluang pula menjadi daerah kedua paling terjejas dengan mangsanya turun sedikit kepada 5,174 penduduk daripada 1,507 keluarga yang ditempatkan di 38 PPS.

“Ia diikuti Batu Pahat dengan mangsanya naik kepada 4,340 mangsa banjir daripada 1,174 keluarga di 24 PPS. Kota Tinggi juga melonjak dengan 3,689 mangsa daripada 971 keluarga di 19 PPS.

“Mangsa banjir di Muar turut melonjak kepada 2,829 mangsa daripada 826 keluarga di 18 PPS. Tangkak juga melonjak dengan seramai 1,999 mangsa banjir daripada 541 keluarga di 19 PPS.

“Johor Bahru pula menurun dengan 1,216 mangsa daripada 356 keluarga di enam PPS manakala Mersing meningkat kepada 722 mangsa daripada 214 keluarga di lapan PPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Azmi berkata, Kulai pula mencatatkan mangsa banjir seramai 630 membabitkan 156 keluarga di tiga PPS.

Pontian pula katanya, membabitkan seramai 364 mangsa daripada 90 keluarga di lima PPS.

“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk ke atas semua 6 daerah negeri ini membabitkan Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Mersing, yang diramalkan sehingga esok.

“Namun kesemua 10 daerah negeri ini diramalkan akan terus mengalami hujan hari ini sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah,” katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak 13 sungai utama di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya, setakat jam 8 pagi ini.

Katanya, ia membabitkan masing-masing lima di Segamat, tiga di Tangkak, tiga di Batu Pahat, serta masing-masing satu di Muar, Kota Tinggi dan Kluang.

“Antara yang sangat berisiko menyebabkan limpahan ke daratan termasuk Sungai Johor di Kota Tinggi yang melepasi paras bahaya dengan merekodkan 10.32 meter pagi ini.

“Di Batu Pahat pula membabitkan Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok yang dilaporkan melepasi paras bahaya 20.15 meter manakala Sungai Endau di Kampung Contoh melepasi paras bahaya di 15.83 meter,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN