DUNGUN- Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pasir Raja telah dibuka bagi menempatkan 17 mangsa banjir daripada empat keluarga awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Tengku Yunus Tengku Mat Rani berkata PPS tersebut telah dibuka pada jam enam pagi ekoran hujan berterusan mengakibatkan paras air sungai berada pada paras tahap bahaya sehingga melimpah tebing dan melanda rumah penduduk.
“Ini merupakan antara keluarga terawal yang berpindah, mungkin kalau hujan lebat berterusan akan lebih ramai lagi mengambil tindakan yang serupa, namun pada pagi ini trend air sudah mula menurun, walau bagaimanapun kita mengarahkan agar empat keluarga ini tinggal di sini dahulu.
“Ia bergantung kepada faktor cuaca pada hari ini, jika sekiranya cuaca mengizinkan, kesemua mereka akan pulang ke rumah masing-masing namun sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarahkan” ujarnya ketika dihubungi, pada pagi ini.
Dalam pada itu beliau berterima kasih kepada Jabatan Amal Malaysia (JAM) daerah tersebut yang segera turun bagi menghulurkan bantuan serta membantu bagi memastikan mangsa-mangsa dapat berpindah dalam keadaan baik, serta segala keperluan berkaitan dapat disediakan.
“Mereka juga telah mewakili Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman untuk menghantar bekalan makanan seperti bahan-bahan mentah untuk keperluan mangsa-mangsa di sini,” katanya.
SUmber: TRDI News