Banjir: Segera berpindah jika diarah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH: Penduduk di lokasi terjejas banjir diminta segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaik pihak berkuasa mengeluarkan arahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata arahan itu dikeluarkan dengan mengambil kira faktor keselamatan penduduk bagi mengelakkan kejadian buruk daripada berlaku, selain terdapat peruntukan undang-undang yang mewajibkan penduduk berpindah ke PPS jika diarahkan.

Berdasarkan Seksyen 4C(1) Akta Pertahanan Awam Malaysia 1952 (Akta 221), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku sekretariat bagi jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah, mempunyai kuasa mewajibkan penduduk berpindah.

“Walaupun tindakan boleh diambil ke atas mereka yang tidak patuh (pada arahan berpindah), di peringkat ini kita memfokus kepada kesedaran supaya masyarakat faham arahan yang dikeluarkan dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan diri mangsa banjir.

“Kita juga berharap semua pihak terutama ibu bapa untuk mengambil aspek keselamatan (semasa banjir) secara serius kerana hal berkaitan iklim dari tahun ke tahun dijangka lebih serius,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan di sini, hari ini.

PPS SMK Semantan yang mula beroperasi sejak Khamis lalu, menempatkan 339 mangsa daripada 103 keluarga dengan sebilangan besar mereka ialah penduduk di Kampung Batu Kapor di sini, yang dilanda banjir setiap tahun berikutan kedudukannya berhampiran Sungai Semantan.

Armizan juga berkata, setakat pagi tadi, selain Pahang, banjir juga berlaku di Perak, Johor, Kelantan dan Terengganu dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 2,763 orang daripada 834 keluarga yang berada di 22 PPS.

Masyarakat juga diingatkan supaya sentiasa peka dan merujuk kepada maklumat terkini daripada sumber sahih berhubung bencana banjir, memandangkan ramalan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) menjangkakan berlaku antara empat hingga enam episod luruan monsun sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Mengulas mengenai kolaborasi antara agensi berkaitan banjir, Armizan berkata setakat ini, penyelarasan dan kesiapsiagaan semua pihak berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, dan penambahbaikan sentiasa boleh dilakukan berdasarkan pengalaman dan situasi bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin.

“Di Pahang, misalnya saya tertarik dalam aspek pembekalan makanan apabila pek makanan retort disediakan untuk mangsa banjir. Ini membolehkan aspek bekalan makanan diselesaikan segera walaupun terdapat pelbagai tugasan utama perlu dilakukan pada peringkat awal berpindah,” katanya.

Sumber: BERNAMA