RANTAU PANJANG – Niatnya hanya untuk mencari pendapatan dengan mengambil upah mengemaskan barangan yang musnah akibat banjir buruk di Rantau Panjang bulan lalu. Namun peristiwa disambar api meninggalkan kesan buat seorang ibu tunggal tiga anak di Kampung Kursal.
Maziha Abdullah, 31, tidak menyangka peristiwa seminggu lalu, meninggalkan parut di muka dan badannya.
“Ketika itu cuaca panas, sesuai untuk membakar barangan yang rosak. Semasa membakar, saya tidak tahu apa dalam itu, masa campak pakaian kali ketiga tiba-tiba api meletup sambar muka saya, saya lari cari air,” katanya.
Selepas kejadian itu, dia mendapat rawatan di hospital selama dua hari. Maziha mempunyai tiga orang anak, Mohd Afiq Fairul, 11, Mohd Mikhail Rizki, 10, dan Cahaya Afifah Munairah, 11 bulan.
Maziha Abdullah tidak mempunyai pendapatan tetap sebaliknya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan. Kakaknya Mastura Abdullah, 32, memaklumkan sewaktu kejadian banjir pada 27 Februari lepas, seluruh Kampung Kersal ditenggelami air.
“Air banjir naik melepasi paras bumbung, habis tenggelam semuanya.
“Kami berpindah ke PPS Gual Perik menaiki perahu. Kami terkejut, tak pernah tengok keadaan seperti ini sehingga saya demam selama empat hari,” katanya.
Kesemua peralatan rumah yang didiami bersama adik dan 10 lagi ahli keluarga lain musnah. Pada masa kini hanya tikar sebagai pengalas tempat tidur.
Sumber: AWANI