Banjir Terengganu: Polis siasat video tular jambatan Manir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS: Polis Terengganu membuka kertas siasatan berhubung video yang tular di media sosial yang mendakwa kononnya Jambatan Manir di Kuala Terengganu akan runtuh disebabkan banjir.

Ketua Polis negeri Datuk Rohaimi Md Isa berkata, video yang disebarkan di aplikasi Tik Tok beberapa hari lalu itu telah mencetuskan kebimbangan orang ramai yang menggunakan jambatan berkenaan sebagai laluan penghubung utama antara Kuala Terengganu ke Kuala Nerus.

Beliau berkata, kertas siasatan itu dibuka setelah mendapat aduan rasmi daripada seorang pegawai polis trafik yang membuat laporan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu petang semalam.

“Walaupun rakaman itu dilihat seolah-olah nasihat dan tidak memburukkan mana-mana agensi, ia tetap menimbulkan kegusaran awam kerana didakwa bahaya… akan runtuh.

“Ini adalah kenyataan tidak benar… bukan fakta kerana tak dapat pengesahan daripada mana-mana pihak berkuasa yang sah,” katanya selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Badak di sini, hari ini.

Menurut Rohaimi pemilik akaun TikTok itu sudah dikenal pasti dan tindakan lanjut akan dilakukan termasuk mengambil keterangan daripada individu berkenaan.

Menurut beliau kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan atas kesalahan penyebaran berita yang menimbulkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.

“Video itu telah mengganggu laluan trafik sekali gus menyukarkan tugas anggota trafik kerana ia menyebabkan kesesakan trafik di laluan lain apabila pengguna mengelak daripada menggunakan jambatan tersebut,” katanya.

Sumber: METRO