KUALA TERENGGANU – Banjir di daerah Kemaman bermula kelmarin, pulih sepenuhnya hari ini apabila satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif ditutup.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor yang sebelum ini menempatkan 18 mangsa daripada enam keluarga ditutup pada jam 10 pagi tadi.
Ia susulan semua mangsa yang ditempatkan di PPS itu sejak jam 8 malam kelmarin dibenarkan pulang ke rumah mereka berikutan keadaan cuaca semakin baik.
Terengganu sekali lagi dilanda banjir bermula kelmarin selepas dua PPS dibuka di daerah Kemaman berikutan hujan berterusan melanda daerah itu.
Sementara itu, keadaan cuaca yang baik turut menyebabkan paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu kembali normal.
Setakat jam 8.30 malam, kebanyakannya sungai utama di negeri ini direkodkan melebihi paras normal namun tiada yang melepasi paras bahaya, amaran dan waspada.
Sumber : BERITA HARIAN