Banjir termenung di Pakistan, mangsa banjir diancam penyakit berjangkit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KARACHI: Jangkitan kulit, cirit-birit dan malaria yang berleluasa di bahagian wilayah Pakistan yang dilanda banjir sudah membunuh 324 orang setakat ini, dan wabak itu mungkin tidak terkawal jika bantuan yang diperlukan tidak segera sampai.

Beratus-ratus ribu orang yang dipindahkan akibat bencana banjir ketika ini terpaksa tinggal di kawasan terbuka dan banjir yang meliputi ratusan kilometer mungkin mengambil masa dua hingga enam bulan untuk surut sekali gus keadaan air bertakung membawa kepada masalah kesihatan yang serius.

Dengan sistem kesihatan Pakistan yang sudah lemah dan kekurangan sokongan, mangsa banjir yang berpindah mendakwa terpaksa minum dan memasak dengan air yang dikatakan tercemar.

“Kami tahu ia boleh membuat kami sakit, tetapi apa yang perlu dilakukan, kami perlu meminumnya untuk terus hidup,” kata seorang mangsa banjir, Ghulam Rasool kepada Geo News TV ketika dia berdiri berhampiran tempat kediamannya yang sudah dihanyutkan di selatan Pakistan.

Sementara itu, Pengarah Mercy Corps untuk Pakistan, Dr Farah Naureen, yang melawat beberapa kawasan tenggelam pula berkata bantuan kepada mangsa banjir lewat tiba.

“Kami perlu bekerja dengan lebih tersusun untuk bertindak balas terhadap keperluan segera mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang menyatakan ketika ini adalah keutamaan bagi air minuman bersih.

Beliau berkata, kesihatan dan pemakanan menjadi keperluan terpenting penduduk yang berpindah.

Kerajaan wilayah selatan Sindh hari ini berkata, kemudahan kesihatan sementara dan kem bergerak di kawasan banjir sudah merawat lebih 78,000 pesakit dalam tempoh 24 jam lalu dengan lebih 2 juta sejak 1 Julai, dengan enam kes kematian.

Agensi pengurusan bencana negara itu pada hari ini berkata, kematian akibat penyakit bukan termasuk dalam 1,569 orang termasuk 555 kanak-kanak dan 320 wanita, yang terkorban dalam banjir kilat,

Musim angin monsun mencurahkan hujan lebat iaitu kira-kira tiga kali ganda di Pakistan dalam tempoh tiga dekad, dan diburukkan lagi dengan pencairan glasier sehingga menyebabkan banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Banjir itu juga menjejaskan hampir 33 juta orang di negara Asia Selatan yang mempunyai penduduk 220 juta penduduk itu serta meranapkan rumah, tanaman, jambatan, jalan raya dan ternakan dalam kerugian dianggarkan AS$30 bilion (RM136 bilion).

Pegawai memberi amaran bahawa mereka kini berisiko kehilangan kawalan terhadap penyebaran jangkitan yang disifatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai situasi yang ‘sangat menyayat hati’. – AGENSI