Bank Muamalat Lancar Pakej Pajak Gadai Islam, Bercagarkan Akaun Emas Muamalat Gold-I

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah melancarkan pakej terbaharu bercagarkan Akaun Emas Muamalat Gold-i bagi perkhidmatan Pajak Gadai- i, Muamalat Ar-Rahnu.

Menerusi pelancaran pakej terbaharu ini, pemegang Akaun Emas Muamalat Gold-i kini berpeluang untuk mencagarkan akaun emas mereka bagi memenuhi keperluan tunai segera atau tujuan pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata dengan pelancaran pakej terbaharu ini, Bank Muamalat menjadi institusi kewangan pertama di negara ini dalam industri pajak gadai Islam yang menawarkan gadaian bercagarkan akaun emas.

“Lazimnya, institusi pajak gadai hanya menerima gadaian dalam bentuk emas fizikal iaitu barang kemas, kepingan emas dan syiling emas. Bagaimanapun menerusi pakej terbaharu ini, pemegang Akaun Emas Muamalat Gold-i boleh mencagarkan akaun emas mereka serendah 10gm atau sehingga RM500,000 jumlah pembiayaan bagi setiap pelanggan,”

“Pelanggan pakej bercagarkan Akaun Emas Muamalat Gold-i akan menikmati margin pembiayaan sehingga 80% daripada nilai akaun emas yang dicagarkan dan kadar keuntungan tetap sebanyak 0.9375% sebulan. Bayaran ansuran pembiayaan pula adalah setiap 6 bulan untuk tempoh sehingga 18 bulan,”

Sehingga 30 September 2020, jumlah pembiayaan yang telah diberikan kepada pelanggan melalui  perkhidmatan Pajak Gadai-i, Muamalat Ar Rahnu telah meningkat kepada RM411 juta, iaitu pertumbuhan sebanyak 121.47% berbanding RM185.57 juta bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Di samping itu, pelanggan yang membuat gadaian bercagarkan Akaun Emas Muamalat Gold-i layak secara automatik untuk menyertai kempen ‘Kembara 999 Pajak Gadai-iyang telah bermula pada 1 Mei 2020 dan akan berakhir pada 31 Januari 2021. Kempen ini menawarkan sebanyak 99 hadiah yang keseluruhan bernilai lebih RM500,000.

Antara hadiah yang ditawarkan adalah sebuah kereta Proton X70 sebagai Hadiah Utama, sementara Hadiah Kedua adalah sebuah Proton Iriz. Selain itu, sembilan hadiah bulanan merupakan sebuah motorsikal, serta baucar percutian dan wang tunai.

Dalam pada itu, Bank Muamalat juga mengumumkan pemenang Hadiah Utama kempen terdahulu mereka, iaitu Jom Pindah Ar Rahnu & Menang 1Kg Emas. Kempen yang dilancarkan pada 1 Jun 2019 dan berakhir pada 31 Mac 2020 itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM500,000.

Hadiah Utama berupa Kepingan Emas 999 seberat 1Kg telah dimenangi oleh Puan Kamariah binti Ismail, Hadiah Kedua berupa Kepingan Emas 999 seberat 100gm telah dimenangi oleh Puan Jamaliah binti Mohd Nasir dan Hadiah Ketiga berupa Kepingan Emas 999 seberat 50gm telah dimenangi oleh Encik Kali Selvan A/L Devadass. Sebanyak 20 hadiah bulanan berupa Kepingan Emas 1gm telah dimenangi oleh pelanggan bertuah pada setiap bulan.

Menerusi kempen Jom Pindah Ar Rahnu & Menang 1Kg Emas, Bank Muamalat telah mencatatkan peningkatan 164.88% nilai gadaian bagi perkhidmatan Pajak Gadai-i, Muamalat Ar-Rahnu, bersamaan RM82.44 juta. Ini melepasi sasaran untuk suku pertama tahun 2020 iaitu sebanyak RM50 juta.

Bank Muamalat menawarkan perkhidmatan Pajak Gadai-i, Muamalat Ar-Rahnu di semua 67 cawangan mereka di seluruh Malaysia.

Sila layari laman sesawang Bank Muamalat di www.muamalat.com.my atau kunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat untuk maklumat lanjut mengenai pakej pajak gadai Islam bercagarkan Akaun Emas Muamalat Gold-i. Pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 03- 2600 5500 untuk maklumat lanjut.