DENGKIL – 11 sukarelawan YOSH MyFundAction yang terdiri daripada dua penuntut dan sembilan alumni asasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah turun padang bagi menjalankan misi pasca banjir di rumah pensyarah dan kakitangan Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil, di sini.
Misi pasca banjir pada minggu lalu itu telah diketuai oleh alumni asasi undang-undang UiTM Dengkil, Haziq Fikri Suhaimi.
Matlamatnya adalah untuk membersihkan rumah kakitangan dan pensyarah UiTM Dengkil yang terjejas akibat banjir dan mengedarkan bantuan barangan asas kotak Rezeki Ummat kepada mereka.
Menurut Haziq, tiga rumah terbabit dalam operasi pasca banjir pada hari berkenaan. Antaranya kediaman milik pensyarah Matematik Pusat Asasi Saiyidatul Nadiah Idris, Timbalan Pengerusi Pusat Asasi UiTM Dr Ikhwan Naim Md Nawi dan kakitangan Pusat Asasi Wan Hasniah Wan Ahmad.
“Misi pasca banjir ini salah satu inisiatif yang diambil oleh persatuan alumni Asasi UiTM untuk menyumbang semula bakti kepada warga UiTM Dengkil dan meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir.
“Saya berharap misi ini membantu kami menyusun lebih banyak aktiviti kebajikan pada masa akan datang khususnya yang membabitkan penuntut di seluruh IPT bagi menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya.
Haziq berharap niat murni yang ditunjukkan oleh sukarelawan terbabit dapat memberi contoh teladan yang baik kepada generasi muda di luar sana agar terus berkhidmat kepada masyarakat tidak kira bangsa dan agama.
Lebih menarik lagi, warga UiTM sendiri turut memberi maklum balas yang baik terhadap misi itu.
Isteri Dr Ikhwan Naim, Nur Adila Che Rameli menghargai bantuan yang diberikan oleh sukarelawan terbabit. Baginya, usaha tersebut akan menggalakkan penuntut di luar sana untuk tidak berhenti dalam membantu mangsa banjir dan mereka yang memerlukan di luar sana.
Katanya, ketika ini dia telah menerima pelbagai sumbangan namun bantuan tenaga amatlah diperlukan untuk membersihkan rumah selepas banjir tempoh hari.
Sementara itu, Wan Hasanah turut mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang terbabit dalam misi pasca banjir berkenaan.
“Kalau tiada yang membantu, mungkin akan mengambil masa sebulan untuk saya bersihkan rumah. Jadi saya sangat hargai bantuan mereka,” katanya.
Sumber: HARIAN METRO