Bantu Ibu Cuci Pakaian 15 Kali Sehari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RANTAU PANJANG – “Selepas pulang ke rumah sebaik air surut, saya membantu ibu yang terpaksa mencuci pakaian lebih 15 kali sehari susulan semua pakaian ditenggelami banjir,” kata Nur Ainsyah Robayah Abdullah.

Nur Ainsyah, 9, tidak kekok membantu ibunya, Nur Farahida Mohd Shakri, 29, selepas rumah mereka ditenggelami banjir separas tiga hingga empat meter selama seminggu sejak 17 Disember lalu.

Nur Ainsyah terpaksa berteduh selama lima hari di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gual To’Deh. Dia berasa amat terkejut apabila melihat timbunan pakaian yang sebelum ini telah disimpan di tempat tinggi, namun kembali berselerakan akibat ditenggelami air.

“Saya sedih melihat ibu keletihan mengemas rumah. Oleh itu, saya membantu ibu membasuh pakaian menggunakan mesin basuh serta menyidainya di ampaian. Nasib baik, mesin basuh sempat diselamatkan daripada tenggelam.

“Sejak kecil ibu selalu mengajar saya supaya sentiasa berdikari dan rajin membuat kerja rumah. Saya gembira dapat membantu ibu membuat kerja-kerja rumah. Jadi setakat membasuh pakaian hanyalah perkara biasa sahaja.

“Oleh kerana ruang ampaian rumah sempit dan mesin basuh hanya mampu memuatkan beberapa kilogram kain sahaja, saya perlu mencucinya berulang kali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Nur Ainsyah berkata, hampir setiap tahun rumahnya digenangi air, namun kali ini fenomena banjir agak besar sehingga hampir menenggelami kediamannya.

Anak sulung daripada dua adik beradik itu berkata, ini adalah kali pertama dia merasai pengalaman berada di PPS. Dia juga turut berasa teruja kerana dapat bersama rakan lain di PPS, namun sentiasa mengingati pesan ibu supaya sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP).

“Selepas melihat semua kain dicuci bersih, saya berasa lega dan berharap kejadian sebegini tidak berulang lagi. Malah, ibu juga masih berjaga-jaga dengan gelombang banjir seterusnya kerana risau bah besar melanda lagi.

“Sebaik air surut, saya tidak melepaskan peluang bermain air dengan pengawasan ibu kerana teruja melihat rakan lain yang bermandi manda,” katanya yang bersekolah di SK Gual To’Deh, di sini.

Sumber: HARIAN METRO