Bantuan Banjir Sukarelawan T-Volt Dari Terengganu ke Johor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS: Kerajaan negeri menghantar seramai 400 sukarelawan dan barangan bagi membantu mangsa banjir yang melanda Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sukarelawan berkenaan akan melakukan kerja-kerja pembersihan dan menyampaikan bantuan barangan kepada mangsa banjir.

Menurutnya, pihaknya akan tertumpu di daerah paling teruk dilanda bencana seperti Segamat, Simpang Renggang dan daerah yang berhampiran yang boleh dimasuki.

“Misi bantuan ke Johor bermula hari ini dan saya melakukan pelepasan sebahagian sukarelawan Terengganu (T-Volt) daripada Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia Terengganu.

“Sebahagian lagi 80 orang sukarelawan akan bertolak petang ini, manakala bantuan barangan seperti tilam, toto dan keperluan asas akan dihantar bermula mulai esok,” katanya.

Wan Sukairi berkata, pihaknya berharap dengan bantuan tenaga dan barangan yang disalurkan sedikit-sebanyak dapat meringankan beban kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, pasukan pertama akan melakukan misi pembersihan bermula hari ini hingga Jumaat, manakala pasukan kedua hingga Sabtu.

“Setakat ini, kerajaan negeri tertumpu menyalurkan bantuan dalam bentuk tenaga dan barangan.

“Untuk misi bantuan ini, kita memperuntukkan lebih RM100,000 dari segi tenaga dan barangan bagi membantu mangsa banjir,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO