Bantuan bekalan air SATU tak mencukupi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Nerus: Penduduk di Taman Desa Tanjung Damai (TDTD) di Gong Badak, di sini, terkilan apabila bantuan bekalan air oleh Syarikat Air Terengganu (SATU) yang tidak mencukupi sejak gangguan bekalan berlaku Isnin lalu.

Hampir 6,000 penduduk TDTD berhadapan pelbagai masalah sejak bekalan air di kawasan itu terputus.

Penduduk, Sanariah Ismail, 40, berkata, penduduk buntu memikirkan masalah itu yang dijangka berlarutan lebih lama sehingga minggu depan.

“Saya berharap pihak berkuasa segera menyelesaikan masalah bekalan air kerana ramai keluarga yang berada di rumah dengan anak-anak kecil.

“Bantuan bekalan air daripada lori SATU lambat namun kami bernasib baik kerana beberapa lori persendirian tampil mengagihkan bantuan air sejak semalam sekali gus membantu penduduk yang terjejas,” katanya.

Mustaffa Husin, 70, berkata situasi itu sangat memeritkan disamping bantuan bekalan air oleh SATU tidak mencukupi.

“Pernah berlaku masalah terputus bekalan air namun pengalaman kali ini yang paling sukar untuk dilalui.

“Sudah masuk tiga hari bekalan air terputus dan bantuan daripada lori SATU cuma datang dua kali iaitu pada hari pertama dan kedua (hari ini).

“Situasi itu menyukarkan aktiviti harian di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti memasak, mandi dan membasuh,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Aminah Jusoh, 53, berkata dia berharap pihak berkuasa segera menyelesaikan masalah itu dan masalah sama tidak lagi berulang pada masa akan datang.

“PKP yang berkuat kuasa sudah cukup memberi tekanan kepada rakyat ketika ini dan jangan tambah dengan isu masalah terputus bekalan air seperti itu.

“Masalah itu akan membebankan isi rumah yang perlu menjaga anggota keluarga orang kurang upaya (OKU) atau warga emas,” katanya.

PENDUDUK TDTD mengambil air dari lori tangki susulan gangguan bekalan air. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK TDTD mengambil air dari lori tangki susulan gangguan bekalan air. FOTO Ghazali Kori

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan komen daripada SATU tidak berjaya apabila panggilan tidak dijawab.

SATU dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan gangguan bekalan membabitkan 28,700 akaun di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Masalah gangguan bekalan air disebabkan oleh pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu dan memerlukan kontraktor berpengalaman serta kepakaran tinggi untuk membaikinya.

Sumber: My Metro