Bantuan bersasar RM400,000 diagih di PKPD Besut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jertih: Proses pengagihan bantuan kerajaan negeri berjumlah RM400,000 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Besut akan dilakukan secara bersasar kepada penduduk memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, bantuan itu tidak diberikan kepada setiap penduduk dalam kawasan PKPD jika mereka berpendapatan tetap dan selesa.

“Sebelum ini kecoh di media sosial tidak ada bantuan PKPD untuk daerah Besut, tetapi selepas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turun padang meninjau keadaan di sini, kerajaan negeri setuju memperuntukkan RM400,000 kepada rakyat terkesan dengan situasi ini.

“Peruntukan itu diagihkan kepada lima Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam daerah Besut iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih, Hulu Besut dan Jabi dengan peruntukan RM80,000 bagi setiap Dun,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Putera berkata, wakil rakyat dan penyelaras Dun akan membuat senarai nama penerima bantuan yang layak hasil maklumat daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Beliau berkata, dakwaan isu pilih kasih, kroni atau adik-beradik tidak timbul dalam memilih penerima layak, sebaliknya kerajaan negeri tidak memilih warna kulit, parti politik serta kaum.

“Jika ada pengerusi atau jawatankuasa JPKK berbuat sedemikian (pilih kasih, pilih kroni) boleh buat laporan di pejabat Dun Kota Putera,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan PKPD dilaksanakan di 15 mukim di Besut selama 14 hari bermula 22 Mei lalu sehingga 4 Jun depan.

Mukim terbabit ialah Kampung Raja, Keluang, Lubuk Kawah, Bukit Kenak, Pelagat, Jabi, Tembila, Kerandang, Bukit Puteri, Pengkalan Nangka, Kuala Besut, Pasir Akar, Kubang Bemban, Tenang dan Hulu Besut.

Sumber: My Metro