Bantuan bulanan terakhir pengayuh beca, pemandu bot diteruskan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Bantuan bulanan terakhir kepada pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang tetap diteruskan, walaupun berlaku kemelut kepemimpinan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) negeri, Senator Datuk Razali Idris berkata, bantuan bulanan untuk Ogos sebanyak RM300 kepada 19 pengayuh beca dan 17 pemandu bot penambang akan dibayar pada minggu depan.

Beliau berkata, kemelut kepemimpinan yang sedang berlaku tidak menjejaskan bantuan seperti dijanjikan.

“Bantuan bulanan kepada pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang berjumlah RM10,800 sebulan itu saya gunakan peruntukan pembangunan dan am dikhaskan kerajaan kepada Ahli Dewan Negara.

“Bayaran untuk bulan terakhir kepada penarik beca roda tiga dan pemandu bot pelancongan itu dilakukan secara pandu lalu minggu depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razali yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tengah (Ketengah) berkata demikian sebagai menjawab keresahan pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot penambang mengenai elaun bulan terakhir sebanyak RM300 seorang yang belum dibayar.

Awal Jun lalu, Razali mengadakan program menyantuni pengayuh beca roda tiga dan pemandu bot pelancong sebelum meluluskan peruntukan RM32,400 sebagai bayaran elaun bulanan selama tiga bulan sehingga bulan ini.

Sumber: My Metro