Bantuan Khas RM300 Kepada Penjawat Awam, RM200 Pesara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bantuan RM200 kepada pesara kerajaan termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

“Bantuan khas ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak, serta lebih sejuta pesara. Dengan pemberian permulaan ini diharap penjawat awam akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat melaksanakan pembaharuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini hari ini.

Anwar berkata bayaran bantuan berkenaan dijangka dibuat dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Menurutnya bantuan khas itu diumumkan sementara kajian gaji dan elaun diperincikan.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata kerajaan terus komited untuk menyelaraskan gaji penjawat awam dengan melihat kepada kemampuan kewangan kerajaan.

“Ekonomi MADANI, memberi perkhidmatan terbaik sekali gus membantu ruang fiskal kerajaan agar hasrat kerajaan untuk merealisasikan gaji baharu perkhidmatan awam menjadi kenyataan,” katanya.

Pada 13 Julai lepas, Perdana Menteri berkata skim gaji penjawat awam akan disaran dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara dan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat dengan Mohd Zuki serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamad sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini.

Sementara itu, Anwar berkata melihat kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat, kerajaan bersetuju menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

Katanya bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta orang iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion.

— BERNAMA