Bantuan Prihatin Pahang Bukti Keprihatinan Kerajaan Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARAN : Bantuan Prihatin Pahang (BPP) merupakan satu bukti keprihatinan Kerajaan Pahang kepada semua rakyat di negeri ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chenor, YB. Encik Mujibur Rahman Ishak berkata, pemberian bantuan ini merupakan satu insentif yang sangat bermakna kepada para penerima.

“Sumbangan daripada Kerajaan Negeri adalah bukti keprihatinan kepada penerima melalui insentif yang sangat bermakna dalam suasana kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini.

“Dengan bantuan yang diberikan ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi institusi keagamaan kita, masjid dan surau di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas mewakili Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) di Pejabat Agama Daerah Chenor di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chenor, YB. Encik Mujibur Rahman Ishak ketika menyampaikan sumbangan Bantuan Prihatin Pahang secara pandu lalu hari ini.

Dalam program yang dijalankan secara pandu lalu ini, Kerajaan Pahang telah menyumbangkan sebanyak RM26,100 kepada 60 penerima.

Beliau berkata sebanyak tujuh pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMA) dan 12 pekerja dan pengusaha kantin asrama menerima bantuan pada hari ini.

“Kita menyampaikan RM4,200 kepada tujuh pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMA Chenor yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

“Selain itu 12 pekerja dan pengusaha kantin asrama dari SMA Chenor turut menerima bantuan sebanyak RM1,200,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Pahang turut menyampaikan bantuan jubah kepada pegawai masjid dan surau serta bantuan kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).

“Sebanyak 207 helai jubah diberikan kepada 40 wakil bernilai RM20,200 sebagai insentif kepada pegawai masjid dan surau di Chenor.

“Dan kita juga turut memberi bantuan sebanyak RM500 kepada seorang Penggerak Masyarakat Orang Asli yang bertugas di sini,” katanya.

Sementara itu, penerima BPP bagi Penggerak Masyarakat Orang Asli Chenor, Encik Mohd Fadzil Hanafi Hussin melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang di atas bantuan yang diberikan.

“Ini bantuan pertama kali yang diterima daripada Kerajaan Negeri Pahang dan saya bercadang untuk menggunakan bagi perbelanjaan keperluan rumah dan anak-anak,” katanya yang telah berkhidmat selama 12 tahun.

Sumber: PAHANGMEDIA