KUANTAN, 10 MAC 2021 : Kerajaan Pahang menberikan bantuan sebanyak RM 2.537 juta kepada murid tahun satu di seluruh negeri ini sebagai bantuan awal persekolahan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata kesemua murid tahun satu ini akan menerima RM100 setiap orang.
“Setiap murid tahun satu di negeri ini akan menerima bantuan secara one-off iaitu RM 100 seorang.
“Jumlah murid yang menerima bantuan ini adalah seramai 25,730 orang melibatkan 25,645 orang di sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan 85 orang lagi merupakan pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di bawah Yayasan Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan ‘Mock Check’ Program Bantuan Awal Persekolahan Bagi Murid Tahun 1 Sesi Persekolahan 2021 Kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurut beliau lagi Program Bantuan Awal Persekolahan bagi Murid Tahun 1 Sesi Persekolahan 2021 ini ialah sebahagian daripada pelbagai inisiatif di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2021 oleh pihak Kerajaan Pahang.
“Bantuan ini pertama kali saya umumkan semasa membentangkan Belanjawan Negeri 2021 pada 16 November 2020.
“Tujuannya ialah untuk memberi semangat belajar kepada murid-murid tahun 1 selain membantu sedikit sebanyak ibu bapa masing-masing dalam penyediaan keperluan anak-anak mereka menghadapi alam persekolahan,” katanya.
Menurut beliau lagi, pemberian bantuan ini adalah mengikut kemampuan bantuan kewangan Kerajaan Negeri yang baik pada tahun ini.
“Sungguhpun nilainya mungkin kecil bagi sesetengah orang, namun diharapkan para penerima dapat bersyukur serta berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengambil berat untuk mengusahakannya.
“Pemberian ini pula adalah menurut kemampuan kewangan negeri di mana pada tahun lepas kita beri RM50 setiap pelajar,” katanya.
Beliau berkata jumlah murid yang menerima bantuan ini melibatkan 9,003 murid di Kuantan; 2,785 (Temerloh); 2,191 (Pekan); 2,070 orang (Rompin); 1,832 (Maran); 1,650 (Jerantut); 1,574 (Bentong); 1,465 (Lipis); 1,372 (Bera); 1,186 (Raub); dan 602 orang (Cameron Highlands). Sumber :PAHANGMEDIA