KUANTAN – Kerajaan Pahang bercadang menambah jumlah bantuan bagi bakal jemaah haji dari Pahang sekiranya kedudukan kewangan negeri berada dalam keadaan yang baik.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan jemaah sebelum ini dimulakan dengan RM500 sahaja tetapi tahun ini setiap jemaah turut dibekalkan dengan Juadah Makmur dengan peruntukan RM84,000 di samping bantuan RM500 berjumlah RM1 juta untuk semua jemaah.
“Kita akan teruskan sebab itulah sebelum kita membuat keputusan kita pertimbangkan dulu kedudukan kewangan kita sebab itu kita mulakan dengan RM500 dan saya percaya insyaAllah dengan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang baik kita akan teruskan.
“Lazimnya apa yang Kerajaan Negeri buat kita akan teruskan, kita tidak pernah menghentikan contohnya Rumah Rakyat Pahang (RRP) malah bermula dengan setiap DUN hanya dua buah rumah sekarang ini sudah sampai lapan buah rumah dan kalau kedudukan kewangan Kerajaan Negeri bertambah baik, tidak mustahil pemberian RM500 ini akan ditambah lagi pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Dan Penyampaian Bantuan Haji Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1444H / 2023 yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad 1 di sini, pagi tadi.
Pemberian bantuan kepada jemaah haji ini adalah tanda sokongan dan prihatin Kerajaan Pahang terhadap jemaah-jemaah dari Pahang yang berpeluang menunaikan ibadah haji pada setiap tahun.
“Ini tujuannya adalah untuk meringankan bebanan mereka sedikit sebanyak walaupun RM500, itu tidaklah begitu banyak tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan mereka dan selain daripada itu kita juga ada membekalkan pek makanan segera iaitu nasi putih bersama kari ayam atau kurma ayam dan nasi lemak.
“Maknanya setiap orang akan mendapat tiga pek makanan yang boleh dimakan di bilik mereka kerana ianya sangat mudah untuk disediakan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan fitnah sama ada membabitkan agenda politik atau pun tidak.
“Bersainglah cara sihat, Kerajaan Negeri telah diberikan kepercayaan untuk mentadbir Pahang justeru segala usaha yang dilakukan adalah untuk membantu rakyat.
– PAHANG MEDIA