TUMPAT: Pemberian sebanyak 1.2 juta dos vaksin untuk Kelantan yang diumumkan kerajaan semalam disifatkan satu khabar gembira dan harapan untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata setakat ini, sebanyak 585,000 dos vaksin sudah diperoleh dan dengan agihan yang bakal diterima nanti, negeri itu dijangka mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang akhir bulan ini.
“Ketika ini, kita tertinggal di belakang berbanding beberapa negeri lain. Sekarang kita ada 585,000 dos dan akan sampai pula 1.2 juta dos, maknanya cukup untuk kita capai imuniti kelompok, segera.
“Semalam sahaja, kita suntik sebanyak 36,394 dos di seluruh Kelantan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, semalam mengumumkan akan mengagihkan vaksin kepada Kelantan dan empat negeri lain yang mencatat jangkitan harian tinggi.
Ahmad berkata, perkembangan baik itu juga memberi semangat kepada rakyat Kelantan untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan lebih cepat.
Beliau berkata, daripada jumlah vaksin yang diterima itu, sebanyak 20,000 dos vaksin akan diperuntukkan kepada penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir di negeri itu.
Terdahulu, beliau melawat Sekolah Kebangsaan Kampong Laut, di sini yang dijadikan pusat pemberian vaksin sempena Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan.
Setakat empat hari sejak dibuka, seramai 2,340 penduduk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di PPV itu.
Sumber: My Metro