Bantuan Wang Ihsan: Tarikh Akhir Pendaftaran Mangsa Banjir Tidak Berpindah Ke PPS Dilanjutkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Pahang telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pendaftaran bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika bencana itu melanda negeri ini bermula pertengahan Disember tahun lalu bagi membolehkan penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) dilaksanakan.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, tarikh akhir penerimaan borang mangsa tidak berpindah kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah pada 17 Januari 2022.

YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak

“Bagi mangsa yang tidak berpindah ke PPS, pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sedang mengemaskini maklumat tersebut dan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 17 Januari 2022 walaupun tarikh akhir pendaftaran telah berakhir pada 7 Januari 2022.

“Dijangkakan pembayaran pertama untuk mangsa yang tidak berpindah ke PPS boleh dibuat bermula 24 Januari 2022,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang berkata, sehingga 10 Januari 2022, sebanyak 19,053 ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke PPS telah dikenalpasti bagi gelombang satu dan gelombang kedua Monsun Timur Laut 2021/2022 dan PDT telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM 26,250,000 yang meliputi 17,310 KIR.

Menurut beliau, baki sebanyak 1,743 KIR akan dibuat pembayaran selewat-lewatnya pada 14 Januari 2022.

“Memandangkan proses pembayaran masih berjalan, mangsa-mangsa yang berpindah ke PPS dan masih belum menerima BWI selepas tarikh ini, boleh menghubungi PDT berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan BWI sebanyak RM1,000 dan Kerajaan Negeri turut mengumumkan BWI sebanyak RM500 bagi mangsa-mangsa yang telah berpindah ke PPS dan mangsa yang telah terjejas banjir.

Peruntukan ini disalurkan oleh pihak NADMA kepada Kerajaan Negeri dan pembayaran dibuat oleh PDT.

Sumber: PAHANGMEDIA