Bantuan wang tunai, komputer buat rakyat Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Sejumlah 18,726 Ketua Isi Rumah (KIR) di Pahang yang terjejas dengan banjir, Januari lalu bakal menerima bantuan RM500.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan sama akan turut diberikan kepada peniaga gerai dan rumah kedai yang terkesan dengan bencana berkenaan.

Katanya, bantuan secara one-off itu akan membabitkan peruntukan RM9.4 juta yang menyasar mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dan mereka berpindah di rumah saudara.

“Keputusan ini (bantuan one-off) dibuat pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang saya pengerusikan pagi ini (hari ini).

“Mesyuarat juga mengambil maklum Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meluluskan peruntukan wang ihsan RM500 bagi setiap KIR yang keseluruhan berjumlah RM4.3 juta.

“Bagaimanapun, sumbangan Kerajaan Persekutuan itu hanya meliputi 8,600 KIR,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menetapkan pemberian Bantuan Bayaran Sewa Rumah selama tiga bulan kepada KIR yang kehilangan rumah asal dan rumah tidak dapat diduduki akibat bencana itu.

Katanya, untuk bantuan itu dijangka memanfaatkan 27 KIR, membabitkan peruntukan RM16,800.

“Sukacita juga saya maklumkan, Mesyuarat MMK Negeri hari ini turut bersetuju menyumbang sebuah komputer riba setiap seorang kepada penerima di bawah senarai Bantuan Kanak-kanak (BKK) Pahang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

“Saya berharap dengan bantuan kewangan serta peralatan yang saya umumkan hari ini, ia dapat meringankan beban ditanggung rakyat akibat banjir serta masalah pembelajaran dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya.

Sumber: My Metro