Banyakkan Program Kebajikan Kepada Rakyat – KDYMM Pemangku Raja Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya Kerajaan Pahang memberikan fokus dan membuat lebih banyak program berbentuk kebajikan kepada rakyat di negeri ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang bertitah, ini memandangkan prestasi kewangan negeri yang kukuh, iaitu berjaya mencapai sasaran kutipan hasil lebih 100 peratus serta merekodkan lebihan perbelanjaan.

“Dengan adanya lebihan kewangan tersebut, beta bertitah agar Kerajaan beta dapat memberikan fokus untuk mengadakan lebih banyak program dan projek yang berbentuk kebajikan kepada rakyat jelata,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-62 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-62 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Turut hadir, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Baginda bertitah, sasaran Kerajaan Pahang untuk mengutip hasil melebihi RM1 bilion pada tahun hadapan adalah satu perkara yang tidak mustahil untuk digapai dengan kerjasama semua pihak.

“Kepada semua wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan, beta bertitah agar tingkatkan mutu perkhidmatan yang cemerlang.

“Permudahkan urusan rakyat, kurangkan birokrasi dan buang proses-proses yang tidak perlu. Keraplah turun padang melihat sendiri masalah rakyat di luar sana,” titah baginda.

Baginda juga akan sentiasa memantau dan membuat lawatan mengejut di mana-mana kawasan di negeri ini.

“Beta sendiri akan sentiasa memantau dan membuat lawatan mengejut atau spot check, tidak kira di kawasan bandar atau taman, mahupun kawasan kampung dan pedalaman,” titah baginda.

Sumber: PAHANGMEDIA