Bapa mangsa pembunuhan kejam, Allahyarham Siti Nur Surya, Ismail Muda , terbuka untuk memaafkan keluarga remaja wanita yang didakwa membunuh anaknya.
Katanya, tidak ada sesiapapun yang inginkan kejadian seperti itu berlaku dan menyifatkan ia adalah ketentuan Allah walaupun perit untuk menerimanya.
“Kalau dia (keluarga suspek) datang kita terima, tak kan kita nak halau orang datang minta maaf. Walau marah dan kecewa sekali pun dengan perbuatan anaknya, saya tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana kejadian sudah berlaku”
Ismail berkata, bagaimanapun sehingga kini tidak ada pihak daripada keluarga terbabit yang datang menemui keluarganya untuk tujuan itu.
Menurutnya, pihaknya sentiasa menunggu kedatangan keluarga berkenaan untuk memohon maaf bagi pihak anak mereka.
Bapa saudara Allahyarham Siti Nur Surya, Aznan Muda, berkata dia tidak menolak kemungkinan keluarga terbabit takut untuk datang berjumpa keluarga mereka.
“Yalah, siapa tidak takut, anak dah bunuh orang tetapi kita tidak tahu situasi ketika itu dan asbab kejadian itu berlaku,” katanya. – BERITAHARIAN