BARCELONA – Barcelona memasukkan penyerang berusia 15 tahun, Lamine Yamal dalam kemenangan 4-0 ke atas Real Betis dan menjadikannya pemain termuda dalam La Liga.
Kelab Catalan itu berkata, Yamal adalah pemain kedua termuda dalam sejarah kelab, selepas Albert Almasque pada tahun 1902 yang bermain dalam Piala Macaya pada usia 13 tahun, 11 bulan dan enam hari.
Yamal menggantikan Gavi ketika permainan berbaki empat minit untuk penampilan sulungnya pada usia 15 tahun, sembilan bulan dan 16 hari.
“Dia mempunyai bakat luar biasa di bahagian serangan yang sukar dicari. Dia tidak kelihatan seperti baru berusia 15 tahun, dia lebih matang daripada usianya. Saya melihatnya dalam latihan dan dia menunjukkannya.
“Dia bermain 10 minit, tetapi melakukannya dengan baik, dia mampu melakar sesuatu di kelab,” kata pengendali Barcelona, Xavi Hernandez.
Yamal sempat melakukan percubaan tepat dalam kemenangan yang melebarkan kembali kelebihan Barca di puncak liga kepada 11 mata.
Yamal turut mencipta peluang untuk Ousmane Dembele dalam kemenangan yang meletakkan mereka semakin hampir kepada gelaran pertama La Liga sejak tahun 2019.
Real Madrid sebelum itu menewaskan Almeria 4-2 untuk merapatkan jurang kepada lapan mata, tetapi Barcelona kembali mengukuhkan kedudukan selepas membelasah Betis.
Andreas Christensen, Robert Lewandowski dan Raphinha menjaringkan gol untuk Barcelona di Camp Nou dengan Guido Rodriguez menjaringkan gol sendiri untuk gol keempat tuan rumah.
– BERITA HARIAN