BARCELONA – Barcelona melebarkan jurang di puncak La Liga kepada lapan mata selepas kemenangan 3-0 ke atas Sevilla.
Skuad Catalan, yang memburu gelaran liga pertama sejak tahun 2019, memanfaatkan kekalahan pesaing terdekat, Real Madrid yang tewas 1-0 di tangan Real Mallorca sebelum itu.
Bagaimanapun pengendali Barca, Xavi Hernandez berkata mereka tidak akan terbawa-bawa dengan kejayaan itu, dan menggesa anak buahnya untuk memastikan jurang itu kekal.
“Mereka masih pasukan pilihan kerana mereka adalah juara bertahan La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah.
“Saya tahu Real Madrid akan terus bersaing hingga ke akhir. Ada sejarah kebangkitan, kita tidak boleh biarkan ia berlaku,” kata Xavi.
Jordi Alba memecah kebuntuan di babak kedua, dengan Gavi dan Raphina turut menemui sasaran.
Kemenangan itu adalah yang ke-10 dalam 11 perlawanan liga, manakala Barca juga belum tewas dalam 15 perlawanan di semua pertandingan.
Skuad kendalian Xavi hanya dibolosi tujuh gol dalam kempen La Liga musim ini, dan perlawanan ke-15 tanpa dibolosi.
Sumber : BERITA HARIAN