BARCELONA – Gol Pedri membantu Barcelona mencipta kemenangan 1-0 mengatasi Celta Vigo untuk kembali ke persada La Liga awal pagi tadi.
Selepas Real Madrid menewaskan Getafe, Barcelona sedar mereka perlu menewaskan skuad Galicians itu menjelang pertemuan Clasico Ahad ini sebagai pendahulu liga, namun Celta tidak memberikan laluan mudah.
Dalam kemenangan tipis buat Barcelona itu, pelawat hampir menyamakan kedudukan di Camp Nou dan Marc-Andre ter Stagen mencipta enam aksi tanpa bolos dalam liga domestik selepas menyelamatkan cubaan Iago Aspas.
Sepakan Goncalo Paciencia terkena palang pada penghujung saingan ketika skuad dari Catalan itu segera mengharapkan wisel penamat.
“Kami melalui babak kedua yang hebat, dengan empat atau lima, enam peluang, tapi jika anda tidak menjaringkan gol di Camp Nou, adalah normal anda akan kalah,” kata Aspas kepada DAZN.
Persembahan berkenaan tidak selari dengan aksi penting buat Barcelona dalam Liga Juara-Juara berdepan Inter Milan awal pagi Khamis ini.
“Bermain seperti kami tunjkkan pada babak kedua, ia akan menjadi sangat sukar (untuk menewaskan Inter), tapi babak pertama bagus, kami perlu mengekalkan tahap itu,” kata jurulatih Barca, Xavi Hernandez.
“Hari ini kami bernasib baik kerana ada penjaga gol yang bagus, tapi kami perlu meningkat, kami perlu lebih kritikal.”
Xavi memulakan pertahanan kiri, Marcos Alonso di bahagian tengah bersama Gerard Pique kerana masalah kecederaan namun masih boleh memilih skuad terkuat.
Sumber : BERITA HARIAN