BARCELONA – Barcelona berjaya mendaftarkan Robert Lewandowski, Franck Kessie, Andreas Christensen dan Raphinha semalam, tepat pada masanya untuk perlawanan pembukaan La Liga menentang Rayo Vallecano awal pagi esok.
Bagaimanapun pertahanan Perancis, Jules Kounde masih belum didaftarkan dengan La Liga.
Barcelona menghabiskan 153 juta euro (RM697.86 juta) dalam jendela perpindahan bagi menguatkan pasukan mereka dengan Lewandowski adalah pemain paling terkenal datang dari Bayern Munich.
Perjanjian berkenaan hadir selepas setahun Barca terpaksa melepaskan Lionel Messi ke PSG ketika kelab gergasi Catalan itu mencatat hutang dilaporkan bernilai 1.35 bilion euro (RM6.16 bilion).
Berdepan sekatan kewangan sukar La Liga, Barcelona perlu mendapatkan wang dengan cepat bagi mencari muka baharu dan paling penting, mendaftarkan pemain baharu.
Semalam, Barcelona menjual sebahagian daripada produksi media mereka “Barca Studios” dengan nilai 100 juta euro (RM456.12 juta) kepada Orpheus Media.
Menurut Marca, Kounde hanya boleh didaftarkan jika kelab itu dapat mengurangkan bebanan membayar gaji.
“Jadi dalam beberapa hari lagi, pemain yang berada dalam skuad perlu meninggalkan kelab,” kata akhbar itu.
Kounde menandatangani perjanjian lima tahun pada penghujung Julai selepas meninggalkan Sevilla.
Sumber : BERITA HARIAN