Barcelona Layak Ke Liga Juara-Juara Eropah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MADRID – Barcelona layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas jaringan kemenangan minit ke-94 Jordi Alba ke atas Real Betis memastikan kedudukan dalam kelompok empat teratas La Liga.

Rembatan Alba memberikan kemenangan 2-1 di Benito Villamarin untuk Barca mengesahkan tempat dalam saingan Eropah itu yang tampak seakan pudar akibat masalah kewangan musim ini.

Ketika Xavi Hernandez mengambil alih pasukan pada November lalu, Barcelona berada di tangga kesembilan La Liga, dan peluang untuk mengejar kelompok teratas dilihat sukar.

Bagaimanapun anak buah Xavi bangkit memperbaiki kedudukan dan kini boleh menyertai seteru utama Real Madrid di pentas tertinggi Eropah itu musim depan.

“Kami berjaya menyelamatkan keadaan. Pasukan ini mempunyai keyakinan sehingga ke akhir, ia mempunyai daya saing yang tidak kelihatan pada November,” kata Xavi.

Perbezaan antara saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa bernilai 50 juta euro (RM230.5 juta) buat Barcelona, yang memulakan musim dengan hutang lebih 1 bilion euro (RM4.6 bilion), dan terpaksa melepaskan Lionel Messi secara percuma pada musim panas lalu.

Ketika musim tanpa trofi bukan satu kejayaan buat Barca, kini menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas sudah dianggap cukup baik buat Xavi dan melegakan kelab.

Kemenangan itu meletakkan Barcelona di tangga kedua liga, 11 mata di depan Betis yang menghuni tangga kelima. Kedua-dua pasukan mempunyai baki tiga perlawanan musim ini.

Barca juga dilihat mampu mengesahkan kedudukan di tempat kedua, dengan lima mata mendahului Sevilla yang akan menentang Villarreal malam ini.

Real Madrid yang mendahului dengan kelebihan 12 mata, akan bertandang ke laman Atletico Madrid awal pagi nanti.

Sumber: BERITA HARIAN