Baru Empat Hari Dibersihkan, MTI Tenggelam Semula

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: Kurang seminggu Madrasah Tarbiah Islamiah (MTI) di Kampung Chatin, Mentakab dibersihkan selepas dinaiki air, ia kembali tenggelam apabila dilanda banjir sekali lagi pada Isnin lalu.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid MTI, Ab Manaf Yunus berkata, pihaknya baru selesai membersihkan madrasah termasuk peralatan pelajar sejak empat hari lalu.

Menurutnya, hujan lebat berterusan menyebabkan kawasan madrasah digenangi air pada pagi Isnin lalu.

“Kepenatan tenaga pengajar dan ibu bapa serta sukarelawan membersihkan sekolah masih tidak hilang lagi, air kembali memenuhi kawasan sekolah walaupun tidak setinggi banjir lalu.

“Sebelum ini, air setinggi bumbung tingkat dua madrasah terutamanya di kawasan asrama dan turut meninggalkan lumpur setebal kira-kira 30 sentimeter.

“Cuma banjir kali ini, paras air setakat pinggang sahaja dan kami masih menunggu ia surut sebelum melakukan kerja membersihkan kawasan madrasah terutama di asrama,” katanya.

Beliau berkata, kawasan asrama lelaki dan perempuan paling teruk dilanda banjir kali imi berbanding dahulu semua kawasan dipenuhi air.

Katanya, pihak madrasah bercadang membuka kembali madrasah ini kepada pelajar pada minggu depan, tetapi terpaksa ditangguhkan lagi. “Kami terpaksa menunggu air surut sepenuhnya kerana air masih termenung. Kerja pembersihan akan dijalankan secepat mungkin supaya madrasah boleh beroperasi semula.

“Tidak sangka air naik lagi dan berharap tidak ada lagi gelombang ketiga selepas ini,” katanya.

Sumber: My Metro