Bau busuk bongkar penemuan mayat warga emas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Bau busuk di tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Tengku Chik, di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas.

Lelaki berusia 67 tahun itu ditemui orang awam kira-kira 6 petang semalam dalam keadaan terbaring dan tidak berpakaian lengkap.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau dan sedikit berulat, pihaknya menganggarkan kematiannya sudah hampir seminggu.

“Mayatnya ditemui orang awam yang memasuki bangunan itu untuk proses baik pulih. Mangsa terbaring di tangga dan dompet padanya mempunyai dokumen pengenalan diri dan sedikit wang,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal dibuat berdasarkan kad pengenalan yang ditemui pada mangsa, mendapati dia pernah dilapor hilang pada 13 Jun lalu dengan laporan oleh anaknya yang mendakwa kali terakhir melihat bapanya pada Mei lalu.

“Dalam laporan itu, pengadu memberitahu dia menghantar bapanya ke Pasar Siti Khadijah kerana mangsa ingin bertemu seseorang dan selepas itu terus menghilang,” katanya yang memberitahu mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk bedah siasat.

Sumber: My Metro