TELUK INTAN: “Mungkin hari ini hari mereka, mana tahu esok lusa hari kita pula,” kata pengusaha River Cruise Teluk Intan, Mohd Shahril Mustafa.
Bersandarkan semangat tolong-menolong, Mohd Shahril, 33, semalam bertolak dari Teluk Intan dengan membawa tiga unit botnya bersama seorang rakan yang juga pemandu bot, untuk menyertai misi bantuan banjir di Lembah Klang.
Tambahan pula, katanya, banyak kiriman mesej diterima daripada pengikut Facebook, termasuk mereka yang pernah menjadi penumpang ‘river cruise’ beliau, untuk meminta bantuan.
“Malah ketika saya membuat persiapan, seorang sukarelawan (Sulaiman Talib) dari Klang kebetulan datang ke jeti kerana mahu membeli bot untuk kegunaan misi membantu mangsa banjir.
“Saya memberitahu beliau tidak payah beli, guna saja bot saya kerana memang mahu ke sana (Lembah Klang). Justeru, kami bertolak bersama bot yang dibawa menggunakan lori lelaki itu,” katanya kepada BH.
Mereka selamat tiba di Taman Sri Muda, Shah Alam, pada jam 3 petang semalam, dan terus membantu memindahkan mangsa banjir.
“Ramai yang mesej memberitahu lokasi mereka untuk meminta bantuan. Ada yang sudah hampir empat hari terkandas dalam rumah tanpa bekalan elektrik.
“Memang kasihan melihat keadaan mangsa banjir, terutama kanak-kanak dan warga emas. Paling membuatkan saya sedih apabila melihat bomba membawa mayat mangsa banjir,” katanya.
Mohd Shahril memaklumkan, beberapa individu lain di Teluk Intan juga telah menghantar bantuan lebih lima bot ke kawasan terjejas banjir.
Sumber: Berita Harian