Bayi lelaki maut tersepit celah besi katil

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jitra: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan ditemukan meninggal dunia dipercayai tersepit pada celahan besi katil di sebuah asrama kebajikan di sini, semalam.

Menurut sumber, polis menerima panggilan daripada sebuah hospital pada 8.30 malam tadi, berhubung kematian mangsa sebelum bergegas ke lokasi melakukan siasatan.

Katanya, ketika kejadian terdapat dua pekerja asrama iaitu lelaki berusia 43 tahun dan wanita berusia 60 tahun sedang bertugas pada waktu itu.

“Kejadian dipercayai berlaku antara jam 7 hingga 8 malam selepas pekerja lelaki dan wanita itu meninggalkan bayi berkenaan di atas katil dalam keadaan terbaring bersama bantal di bahagian kiri dan kanannya kerana hendak berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib.

“Wanita itu kemudian memeriksa kawasan katil asrama selepas selesai solat dan mendapati mangsa tersepit dalam keadaan kepalanya tersangkut pada celah besi katil berkenaan,” katanya.

Difahamkan, asrama itu mempunyai seramai 26 penghuni berusia antara 22 hari hingga 15 tahun dengan majoritinya adalah kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan, kurang upaya dan cacat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat kemungkinan mangsa merangkak dan cuba keluar melalui celahan besi katil.

“Hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.

“Berikutan kejadian itu polis menahan dua pekerja terbabit bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat.

Sebelum ini, mangsa dihantar ke asrama berkenaan bagi dijaga sementara mulai 1 April lalu, berikutan ibu bapanya kini berada dalam tahanan berkaitan kes dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan siasatan lanjut masih dilakukan.

Sumber: My Metro