Bazar Moreh Batu Buruk Jadi Tumpuan Warga Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Dalam situasi yang santai, kepelbagaian juadah dan kedudukan lokasi berhampiran pantai menjadi tarikan utama Bazar Moreh Batu Buruk (BMBB), di sini.

Bazar yang mengetengahkan konsep kekeluargaan itu menjadi tumpuan penduduk di daerah ini untuk tidak melepaskan peluang merasai sendiri suasana berbuka, bermoreh atau bersahur.

Pengunjung yang ditemui melahirkan rasa teruja dan memuji inisiatif dibuat peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menyemarakkan sambutan Ramadan tahun ini.

Ia berikutan larangan aktiviti berbuka dan bermoreh di tempat awam sejak dua tahun lalu susulan pandemik Covid-19.

Suri rumah, Nurul Damia Zainuddin, 30, berkata, konsep santai yang diperkenalkan di BMBB menjadi tarikan untuk dia bersama keluarganya untuk mengunjungi lokasi berkenaan.

“Saya tahu pasal bazar moreh ini daripada media sosial lalu datang untuk rasa sendiri kelainan kerana kita tahu Pantai Batu Buruk ini memang tempat tumpuan pelancong.”

“Terengganu memang terkenal dengan pantai, jadi apabila konsep seperti ini diketengahkan, ia memang menarik apatah lagi kepelbagaian juadah yang ada.”

“Selain itu, waktu operasi yang panjang juga memberi pilihan kepada pengunjung sama ada mahu berbuka, bermoreh atau bersahur di sini,” katanya ketika ditemui, malam semalam.

Bagi Mohd Zahid Ismail, 29, dari Kampung Beladau Kepong, dia sudah lama menunggu peluang untuk merasai pengalaman moreh di tempat awam selepas dua tahun aktiviti itu dilarang kerana Covid-19.

“Kita tahu bersantai di tepi pantai ini antara aktiviti yang sering dilakukan rakyat Terengganu, jadi apabila ada bazar ini, ia memang sesuatu yang mengujakan.”

“Saya sendiri tertarik dengan konsep makan di atas tikar sambil menikmati suasana malam dan angin pantai.”

“Namun, dalam kita berseronok dengan kelonggaran diberikan, aspek kebersihan dan SOP (prosedur operasi standard) jangan diabaikan kerana Covid-19 masih ada,” katanya.

Sementara itu, wakil peniaga, Muhammad Izzat Aiman Abdul Fazil berkata, BMBB beroperasi antara 5 petang hingga 3 pagi mulai 9 April lalu.

Katanya, terdapat kira-kira 12 gerai yang menjual pelbagai juadah dan pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan busker.

Tambah beliau, bazar kali ini kita bawa konsep santai bersama keluarga dan mengutamakan keselesaan pengunjung.

Sumber: HARIAN METRO