BeDaie gabungan sembilan negara mudahkan pengajian agama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Krisis pandemik Covid-19 dihadapi seluruh dunia memberi dimensi baharu kepada kaedah pembelajaran agama apabila kebanyakan guru al-Quran sama ada secara formal atau sebaliknya, sudah beralih kepada pengajian secara dalam talian.

Pengasas BeDaie, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani berkata, penularan Covid-19 menyebabkan pengajian agama secara bersemuka tidak dapat dilakukan dan bagi mengatasinya, satu platform dalam talian iaitu BeDaie dicipta bagi memudahkan akses kepada pengajian ilmu agama.

Beliau berkata, BeDaie adalah projek pertama di Malaysia yang turut menggabungkan lapan negara iaitu Indonesia, Singapura, Thailand (Wilayah Pattani), China, India, Yaman, Afrika dan Sri Lanka dalam satu platform untuk berkongsi ilmu dalam pembelajaran agama mengikut kepakaran masing-masing.

“Perubahan dunia disebabkan Covid-19 memberi impak sangat besar kepada seluruh aspek kehidupan serta sistem pendidikan dan perguruan di Malaysia apabila segala urusan membabitkan proses secara bersemuka tidak dapat berlangsung.

“Konsep pembelajaran dan pengajian dijalankan secara langsung atau rakaman melalui platform BeDaie dan tenaga pengajar sudah menghasilkan ratusan video yang dapat diperolehi secara percuma atau berbayar.

Pengasas BeDaie Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani (kanan) menunjukkan platform BeDaie kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus (kiri) selepas Pelancaran Platform BeDaie. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Pengasas BeDaie Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani (kanan) menunjukkan platform BeDaie kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus (kiri) selepas Pelancaran Platform BeDaie. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

“Bermula daripada fasa pertama sehingga fasa keempat, platform BeDaie sudah mencapai 10,000 tenaga pengajar dan sejuta pelajar daripada pelbagai peringkat usia selain terdapat pengajian khas untuk mualaf dan orang kurang upaya (OKU),” katanya selepas Pelancaran Platform BeDaie secara maya yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan di Pasir Tumboh, di sini, semalam.

Beliau berkata, BeDaie membolehkan pengguna mengikuti kelas islamik, mempelajari lebih 20 bidang ilmu agama dan menghafal al-Quran serta mendalami persoalan dan kemusykilan berkenaan masalah agama tidak kira di mana dan pada bila-bila masa.

Katanya, sehingga kini terdapat ratusan delegasi ustaz dari pelbagai negara sudah mendaftarkan diri sebagai tenaga pengajar secara sah di platform BeDaie.

“Dalam perancangan terdekat, platform BeDaie akan diisi dengan pengajian kitab merangkumi empat mazhab dan diterangkan menggunakan bahasa berbeza iaitu Bahasa Arab, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

“Kami akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk pengiktiran sijil diberikan kepada peserta selepas tamat mengikuti kelas pengajian agama secara dalam talian di BeDaie,” katanya.

Sumber: My Metro