Bekalan Bahan Mentah Mencukupi Dan Terkawal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

HULU TERENGGANU, 18 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan mentah mencukupi menjelang sambutan hari raya korban tidak lama lagi. 

Timbalan Menterinya, Dato’ Rosol Wahid berkata, masyarakat tidak perlu khuatir mengenai kekurangan barangan tersebut kerana ia mencukupi dan terkawal.

Katanya, pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dilakukan bagi memastikan tiada berlaku sebarang kenaikan harga mendadak yang akan menekan pengguna.

“Kita memberi jaminan bekalan barangan makanan mencukupi pada musim perayaan ini dan pengguna tidak perlu risau.

“Jadi kita tidak akan tunggu, sebaik sahaja terima sebarang aduan berhubung sebarang isu, pemantauan, kawalan serta penguatkuasaan akan terus dilakukan segera,”katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ke Program Outreach Vaksinasi di PPV Masjid Peradong Manir.

Jelasnya lagi, orang ramai tidak perlu bimbang tentang ketidakcukupan barangan keperluan harian sepanjang tempoh sekatan perjalanan menyeluruh dan serta tidak perlu mencipta situasi pembelian panik.

Tambah beliau, pihak pemborong dan pembekal telah diminta menambah stok masing-masing untuk menampung pembekalan di musim perayaan.

Dalam pada itu, Rosol berkata, kerajaan kini mengenal pasti isu kenaikan harga telur di pasaran yang dimaklumkan berlaku sejak beberapa hari lalu.

Tambahnya, harga telur ayam pelbagai gred mencatatkan kenaikan harga lebih tiga peratus menjelang Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini berikutan banyak ladang ternakan tidak beroperasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hasil siasatan awal mendapati kenaikan itu dikatakan berpunca daripada pengurangan telur diperingkat pengeluaran.

“Kami lakukan siasatan menerusi Akta Pencatutan. Kalau naik kerana mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan, tindakan akan diambil,” ujar Rosol.

Sumber: TRDI News