Kota Bharu: Bekalan barangan keperluan harian seperti ikan dan sayur-sayuran masih mencukupi untuk menampung keperluan pengguna walaupun harganya tidak stabil berikutan peralihan Monsun Timur Laut.
Bagaimanapun, bekalan minyak masak paket mengalami kekurangan sejak lebih dua bulan lalu selain harga telur naik sehingga RM1 bagi setiap gred untuk kuantiti 30 biji sejak beberapa minggu lalu.
Peniaga ikan, Rokiah Sulaiman, 56, berkata, peralihan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh sedikit-sebanyak menyebabkan harga ikan turun naik, namun setakat ini bekalannya masih mencukupi dan ada kalanya terdapat lambakan ikan disebabkan kurang pembeli.
“Sejak tiga bulan lalu, beberapa jenis ikan dijual mengalami kenaikan harga iaitu ikan selayang kini dijual pada harga RM12 sekilogram berbanding RM6 sekilogram sebelum ini dan ikan selar pula dijual pada harga RM22 sekilogram berbanding RM16 sekilogram sebelum ini.
“Ada sesetengah peniaga ikan terpaksa menggunakan ikan sejuk beku untuk dijual disebabkan kesukaran mendapat bekalan dan antaranya termasuklah ikan bawal dan ikan tongkol bagi memenuhi keperluan pembeli,” katanya ketika ditemui di Pasar Wakaf Che Yeh, di sini, hari ini.
Tinjauan dilakukan di Pasar Wakaf Che Yeh mendapati barangan basah terutama ikan masih lagi mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.
Peniaga sayur-sayuran, Siti Rohani Hussin, 49, berkata, harga sayur mula menunjukkan penurunan sehingga RM1 sekilogram sejak beberapa minggu lalu bergantung kepada jenis sayuran dijual.
“Kemungkinan harga sayur mulai turun disebabkan keadaan cuaca lebih baik, sekali gus menyebabkan stok sayuran mempunyai sedikit lebihan berbanding sebelum ini apabila berlaku kekurangan stok.
“Pada masa sama, pemborong sayur mula menghantar sayuran pada harga lebih rendah berbanding sebelum ini, sekali gus melegakan penjual runcit di pasar basah untuk menampung permintaan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, peniaga barang runcit, Norlida Nor, 57, berkata, sejak lebih dua bulan lalu minyak paket dijual di kedainya mengalami kekurangan bekalan disebabkan pemborong mengambil inisiatif mengehadkan bekalan minyak masak.
“Minyak paket menjadi pilihan pengguna terutama peniaga restoran disebabkan harga jauh lebih murah berbanding minyak botol.
“Selain itu, telur mengalami kenaikan harga, namun ia tidak menjejaskan bekalan untuk menampung permintaan pengguna,” katanya.
Sumber: My Metro