Bekalan Elektrik di Empat Daerah Kelantan Diputuskan, Banjir Semakin Buruk

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Sebanyak 94 pencawang elektrik di Kelantan ditutup sementara waktu mulai semalam berikutan hujan lebat dan banjir yang semakin teruk.

Semua pencawang berkenaan membabitkan empat daerah iaitu Pasir Mas, dengan jumlah pencawang paling banyak iaitu 59 pencawang, Pasir Puteh (22), Tanah Merah (lapan) dan Kota Bharu (lima).

Berikutan itu, bekalan elektrik di daerah terbabit diputuskan sehingga keadaan selamat dan banjir kembali pulih.

Berdasarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline, usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan berkenaan dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

Menurutnya, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang berkaitan jika banjir bertambah buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, bagi memastikan keselamatan pengguna setempat.

TNB juga mengingatkan orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir serta menjauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir.

– BERITA HARIAN