Bekalan telur domestik cukup – Rosol

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Penarikan balik bekalan telur dieksport ke Singapura oleh sebuah syarikat di Jeram, Selangor tidak menjejaskan bekalan telur domestik, setakat ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian memberi jaminan bekalan telur mencukupi terutama dalam memenuhi permintaan menjelang musim perayaan tidak lama lagi.

Beliau berkata, terdapat 50 syarikat pengeluar telur terbesar di Malaysia mampu menampung permintaan pengguna dengan kapasiti pengeluaran lebih 206 juta biji seminggu.

“Pengguna tidak perlu bimbang dengan keselamatan telur di pasaran tempatan kerana siasatan setakat ini mendapati hanya telur dari satu daripada enam ladang syarikat itu yang tercemar.

“Ia adalah telur untuk pasaran eksport. Ketika ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melengkapkan siasatan penuh berhubung kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau jualan kedai runcit bergerak Prihatin Mart di Dataran Kampung Buluh, di sini, hari ini.

Terdahulu, Singapura mengarahkan empat pengimport menarik balik pasaran telur dihasilkan dari sebuah syarikat di Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada telur terbabit yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.

Sumber: My Metro