JERANTUT: Bekalan telur di daerah ini masih belum stabil kerana pembekal masih belum dapat memenuhi permintaan peniaga dan pengguna.
Kehabisan bekalan telur di beberapa pasar raya dan kedai runcit di daerah ini sejak beberapa minggu lalu menimbulkan kerunsingan peniaga terutama mereka yang terbabit dengan perniagaan pastri, kuih muih atau makanan.
Peniaga kedai runcit di pasar besar Jerantut, Mohd Nor Mahmud, 43, berkata beliau mendapat bekalan telur daripada pembekal dari Jerantut dan Mentakab yang dihantar tiga kali seminggu.
“Sebelum ini, saya mendapat 300 papan telur gred A dan B setiap minggu tetapi sekarang, bekalan diterima dua kali atau sekali sahaja seminggu dengan jumlah 40 hingga 60 papan sahaja.
“Malah separuh daripada telur diperolehi itu, saya terpaksa simpan untuk pelanggan tetap yang mengusahakan perniagaan membuat kuih muih dan kek,” katanya.
Beliau berkata, baki telur yang ada di kedai akan habis dalam masa setengah jam sahaja.
Mohd Nor berkata, pembekal mendakwa kekurangan telur disebabkan bahan makanan ayam semakin mahal sehingga mereka tidak mampu untuk menternak dalam skala besar kerana kosnya tinggi.
Katanya, kos vitamin untuk ayam juga semakin meningkat manakala perubahan cuaca tidak menentu turut menyebabkan ayam mudah terkena penyakit.
Menurutnya, mereka tidak dapat menaikkan harga telur ayam kerana ia adalah barang kawalan.
Tinjauan mendapati, kebanyakan telur yang dijual di pasar raya di bandar ini adalah telur jenis Omega yang harganya jauh lebih mahal daripada telur ayam biasa.
Keadaan ini menimbulkan kerunsingan kepada pengusaha pastri dan juga kedai makan di daerah ini yang memerlukan bekalan telur setiap hari.
Seorang penduduk, Abdul Manaf Mat, 59, berkata hari ini beliau makan nasi lemak di sebuah warung tanpa telur kerana peniaga mendakwa, tidak dapat membeli telur dan tidak mahu menggunakan telur Omega kerana tidak mahu menaikkan harga nasi lemak.
Pengusaha kek, Farah Adila Jaafar, 33, berkata ketiadaan telur menyebabkan dia terpaksa mengehadkan tempahan.
“Kalau tidak ada telur macam mana hendak buat kek sedangkan ia bahan utama,” katanya.
Farah Adila berkata, bagi memastikan bekalan telur ada, dia biasanya sentiasa bertanya kepada rakan untuk mengetahui pasar raya atau kedai runcit mana yang ada bekalan telur.
“Kalau dapat tahu, kena segera pergi ke sana. Kalau tidak, memang tak sempat hendak mendapatkan stok telur,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN