Bekas Ahli Dewan Negara dipilih Tokoh Guru Terengganu 2021

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: “Kita tidak boleh berhenti pada satu titik. Sebab itu walaupun sudah bersara, jiwa pendidik tetap sebati,” kata penerima Anugerah Tokoh Guru Terengganu 2021, Engku Naimah Engku Taib, 64, yang juga bekas Ahli Dewan Negara.

Engku Naimah berkata, beliau sama sekali tidak menyangka terpilih menjadi penerima anugerah itu memandangkan sudah lapan tahun meninggalkan kerjaya sebagai pendidik.

“Ini saat yang bermakna buat saya apatah lagi ia adalah kerjaya yang disukai sejak kecil dan berakhir dengan sesuatu yang baik.

“Saya bersyukur dengan anugerah diberikan ini dan akan terus mencurah bakti kepada masyarakat walaupun tidak lagi bergelar pendidik.

“Seperti yang selalu disebut, sekali menjadi guru, selamanya menjadi guru,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini semalam.

Majlis penyampaian itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Dengan penganugerahan itu, Engku Naimah yang juga kepada ibu kepada lima anak menerima wang tunai RM5,000, pingat, selempang, persalinan telekung, jam tangan, tafsir al-Quran, plak dan sijil penghargaan.

Menyifatkan bidang pendidikan yang berubah selepas pandemik Covid-19, Engku Naimah yang berasal dari Besut melahirkan rasa kagum dengan semangat dan kegigihan warga pendidik dan pelajar dalam menyampaikan serta menimba ilmu.

“Ia perubahan yang sangat berbeza daripada yang saya lalui dulu tetapi hebatnya cikgu-cikgu muda, murid dan pelajar serta teknologi yang ada apabila mereka ini mampu meneruskan pembelajaran seperti biasa melalui PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah),” katanya.

Engku Naimah bersara selepas 33 tahun bergelar pendidik dengan jawatan terakhirnya adalah Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Jertih.

Sumber: My Metro