KUALA TERENGGANU, 7 Disember – Sebagai menghargai jasa pengorbanan bekas atlet serta mantan pemimpin belia yang telah mengharumkan nama negeri, kerajaan Terengganu memberi Kad Sejahtera bagi membantu kemudahan kesihatan kepada 80 penerima daripada golongan berkenaan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM40,000.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, setakat ini seramai 29 bekas atlet dengan keutamaan golongan berpendapatan isi rumah terendah (B40) terpillih menerima manfaat itu.
Selain itu katanya, 51 orang mantan ahli belia tersenarai sebagai penerima yang diselia oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT).
“Kerajaan negeri menghargai jasa dan pengorbanan mereka dengan memasukan nama mereka sebagai peserta Kad Sejahtera, satu inisiatif manfaat perubatan bagi mereka yang layak di kalangan rakyat Terengganu berjumlah RM500 setahun bagi setiap pemegang kad.
“Ini kerana, kita tahu tidak semua mereka mendapat pekerjaan yang membolehkan mereka hidup senang, jadi kita mengenang jasa mereka dengan cara ini. Setakat ini, kita tidak ada sasaran berapa jumlah semuanya dan kita tengok berdasarkan laporan yang diterima serta kelayakan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Agihan Kad Sejahtera tersebut di Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.
Tambahnya, pemberian kad sejahtera itu merupakan inisiatif yang lebih membantu bekas atlet dan mantan ahli belia.
“Kita pilih kad sejahtera kerana kebanyakan mereka berada dalam usia lanjut dan seperti kita tahu kos perubatan juga bukan rendah. Jadi, usaha ini lebih bermanfaat dalam tempoh lebih lama supaya membantu mereka dari segi kesihatan dan ekonomi yang boleh ditumpukan kepada perkara lain,” katanya.
Dalam program berkenaan, Wan Sukairi turut menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM3,000 kepada pasukan Markless Komii yang telah menjuarai Festival Bola Sepak Pantai AFF 2021 yang berlangsung di pantai Pattaya, Chonburi Thailand, baru-baru ini.
Sumbangan berkenaan merupakan sebaahagian dari keseluruhan RM5,000 jumlah sumbangan kerajaan negeri di mana sebanyak RM2,000 telah diberikan sebagai kos perjalanan pasukan tersebut ke Thailand sebelum ini.
Sumber: TRDI News