Bekas Guru Ditemui Meninggal Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN: Seorang bekas guru ditemui meninggal bersendirian dipercayai sejak lima hari lalu di rumahnya Taman Chukai, dekat sini, tengah malam tadi.

Mayat Mustaffa Abdul Ghani 67, ditemui dalam keadaan terbaring di dalam bilik tidurnya selepas pintu kediamannya terpaksa dipecah anggota polis kira-kira jam 12 tengah malam.

Rakan mangsa, Mohammad Sabrin Hassan, 51, berkata dia pelik selepas gagal menghubungi mangsa sejak beberapa hari lalu.

“Kali terakhir saya hubungi dia minggu lepas dan mangsa memberitahu dia deman, batuk dan mahu berehat di rumah.

“Selepas itu, saya menghubunginya beberapa kali lagi namun gagal dan pelik dengan keadaan itu, saya mengajak rakan pergi ke kediamannya malam tadi untuk menyiasat,” katanya.

Katanya, sebaik sampai ke rumah rakannya itu, dia mendapati pintu berkunci dan beberapa kali memanggil nama mangsa namun tiada sahutan.

“Bimbang akan keselamatan itu, saya kemudiannya segera menghubungi pihak polis memaklumkan perkara itu.

“Selepas berjaya masuk ke kediamannya, saya sangat sedih apabila polis memaklumkan mangsa sudah meninggal,” katanya.

Mohammad Sabrin berkata, mangsa tinggal bersendirian di rumah itu manakala isterinya ketika itu berada di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, pihak polis terpaksa meminta bantuan anggota bomba untuk memecah pintu kediaman mangsa yang berkunci itu sebelum menemui mangsa dalam keadaan berselimut.

“Berdasarkan keadaan mayat mangsa, pihak polis percaya mangsa telah meninggal dunia sekitar empat hingga lima hari lalu.

“Siasatan lanjut juga mendapati tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes itu diklasifikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Hanyan berkata, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

Sumber: METRO