SETIU – Seorang bekas imam masjid dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika menjala ikan di tali air di Kampung Fikri, di sini, dalam kejadian semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin, Zakaria Mohd Nong, 72 tahun, dikatakan pergi bersendirian ke kawasan itu untuk menangkap ikan.
Katanya, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7 malam semalam.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dilakukan pasukan penyelamat yang melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, serta orang awam.
“Operasi diteruskan lagi, di mana pada peringkat pertama, kita telah menyelam, iaitu oleh pihak skuba bomba, namun keadaan sekarang ini tidak mengizinkan, yang mana arus air semakin naik dan pasang.
“Kita akan ubah cara menyelamat. Kita gunakan bot-bot untuk mencari di atas permukaan sehingga arus berubah daripada air pasang kepada lebih baik,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menitikberatkan keselamatan ketika melakukan aktiviti di air.
- AWANI